Friday, 22 March 2013

RENUNG SEJENAK



Dalam menuju era globalisasi, manusia kini lebih cenderung mengejar kemewahan dari aspek pembangunan. Bagi mereka hanya pembangunan yang pesat sahaja dapat menjamin kemantapan sesebuah negara. Oleh itu, di mana sahaja ada hutan tempat itu akan dikatakan mundur, tidak membangun dan juga miskin.Tanggapan mereka ini sememangnya negatif belaka. Sebenarnya hutan mempunyai banyak rahsia yang perlu diterokai bersama. Rahsianya terkunci rapat bersama kehijauan dedaun, kicauuan burung dan juga kilauan cahaya matahari. Di sini, kami ingin membuka mata dan minda anda tentang kepentingan hutan di negara kita.
Tahukah anda bahawa hutan dapat membantu meningkatkan ekonomi negara. Buktinya, keindahan hutan dapat menambat kedatangan pelancong asing ke negara kita. Bayangkanlah jika purata bagi seorang pelancong membelanjakan RM 2000 di negara kita. Berapakah keuntungannya jika lebih 2000 pelancong datang melawat ke Malaysia? 

Lumayan bukan ! Bukan itu sahaja, dengan hasil jualan kayu-kayan yang bernilai seperti cengal, meranti dan sebagainya tidak mustahil keuntungan yang diperoleh berlipat kali ganda banyaknya. Namun begitu penebangan pokok-pokok ini perlulah mendapat keizinan daripada pihak-pihak yang berkuasa terlebih dahulu.
Selain itu, hutan memberi kita sesuatu yang paling berharga dalam hidup kita selain wang. Oksigen merupakan sesuatu yang amat bernilai bagi hidupan di muka bumi ini. Kesudian hutan memanipulasikan karbon dioksida dan membekalkan oksigen kepada kita sudah lebih daripada cukup. Kenikmatan kita hidup iaitu bernafas dengan menyedut molekul-molekul gas oksigen nyata memberikan banyak sumbangan. Sedarkah anda bahawa kita tidak pernah berterima kasih kepada hutan dia atas sumbangan itu apatah lagi kepada Tuhan yang menciptakannya. Alangkah egoistiknya manusia! Lagaknya umpama tiada lagi perasaan cinta dan kasih pada alam sekitar di sanubari. Justeru itu, kita perlulah memulakan pemuliharaan dan pemeliharaan dari sekarang untuk kesejahteraan di masa hadapan. 

Tidak cukup dengan itu, hutan memberikan hasil yang membantu manusia dalam bidang perubatan. Banyak penyakit yang telah dijumpai penawarnya yang bersangkut-paut dengan dengan hasil hutan. Contohnya Tongkat Ali yang boleh mengubat dan memberikan tenaga kepada lelaki khususnya. Antara contoh lain ialah, 25 peratus daripada preskripsi dadah di amerika Syarikat memperoleh bahan aktifnya daripada tumbuh-tumbuhan. Malah dianggarkan 1 400 spesis tumbuhan hutan mungkin mempunyai potensi untuk dijadikan penawar antikanser.
Apakah yang berlaku nanti jika hutan musnah? Di mana hendak kita cari penawarnya? Sedangkan ahli saintis barat sudah lama mengorak langkah membuat penyelidikkan tentang tumbuhan. Mereka kini benar-benar menghargai sumbangan hutan. Sehinggakan mereka sanggup menghabiskan wang ringgit mereka hanya untuk menikmati dan menghayati keindahan hutan. Mahukah kita menjadi seperti mereka? Sudah terhantuk baru nak tergadah. Hutan sudah musnah baru hendak menghargainya.

Renungkanlah sejenak, demi masa depan kita bersama.

No comments:

Post a Comment