Punca Berlakunya Pencemaran Alam Sekitar
Akta
Kualiti Alam Sekeliling 1974 mengandungi peruntukan yang
bertujuan mencegah, menghapus, mengawal pencemaran serta
memperbaiki kualiti alam sekeliling dan dari aspek yang sering
dikaitkan dengan alam sekitar iaitu pencemaran yang membawa
kepada maksud apa-apa perubahan secara langsung dan tidak
langsung terhadap sifat-sifat fizikal, haba dan kimia termasuk
kesan biologikal terhadap alam sekeliling yang meliputi
pencemaran air, udara, bunyi, tanah dan laut dan untuk masalah
ini, pelbagai punca telah dapat dikenal pasti yang menyumbang
kepada pencemaran alam sekitar.
Antara punca yang telah dapat dikenal pasti yang membawa
kepada masalah pencemaran alam sekitar ini ialah masalah sikap
individu dan organisasi yang tidak bertanggungjawab. Hal ini
jelas kerana tiada kesedaran sivik dalam diri mereka untuk
menjaga alam sekitar kerana bagi sesetengah individu, mereka
akan sewenang-wenangnya membuang sampah merata-rata tanpa
menghiraukan keadaan persekitaran dan mungkin mereka merasakan
itu adalah perkara remeh apabila mencampakkan secebis tisu atau
sisa makanan di tepi jalan. Walhal, jika direnungkan andai ada
seratus orang pengguna yang bersikap sedemikian sudah semestinya
jalan raya akan menjadi kotor dan dipenuhi dengan sampah-sarap.
Manakala untuk organisasi seperti kilang yang menjalankan
operasi pengeluaran yang melibatkan sisa toksik dalam penghasilan
keluaran mereka, pada kebiasaannya kilang itu akan mengambil
langkah mudah apabila membuang sisa toksik tersebut terus ke
dalam laut dan sungai jika kilang itu didirikan berdekatan
dengan kawasan tersebut. Ini akan mengakibatkan pencemaran air
dan kilang yang melepaskan asap tanpa pemasangan alat penapis
udara akan menyebabkan terjadinya pencemaran udara. Hal ini
berikutan sikap individu dan pemilik kilang yang tidak
bertanggungjawab dan peka pada persekitaran sekeliling hasil dari
pencemaran alam sekitar yang mereka cipta sendiri.
Selain itu, antara punca lain ialah pembangunan secara tidak
sistematik. Apabila pihak kerajaan atau pihak swasta merancang
untuk membangunkan sesuatu kawasan, mereka seharusnya memikirkan
secara terperinci kesan-kesan negatif yang akan timbul terutama
yang melibatkan alam sekitar dan bukan tertumpu kepada kebaikan
dan keuntungan pembangunan semata-mata kerana akibat dari
pembangunan yang akan dijalankan boleh menyebabkan berlakunya
pencemaran air, udara, tanah dan bunyi yang akan dihasilkan.
Mungkin disebabkan penggunaan jentera yang terlalu banyak akan
menghasilkan pencemaran bunyi dan pencemaran udara jika
jentera-jentera berteknologi tinggi tersebut mengeluarkan asap
yang berlebihan. Akibat daripada projek-projek pembangunan itu,
ia juga boleh terjadinya pencemaran air terutama pada waktu
hujan jika tanah lapang yang telah dibersihkan untuk projek
pembangunan itu iaitu tanah merah mengalir terus ke dalam
sungai atau laut yang berdekatan . Hal ini boleh menjejaskan
tahap kebersihan kualiti air dan boleh mengancam kehidupan
ekosistem dalam air yang seterusnya membawa kepada pencemaran
alam sekitar.
Di
samping itu, penggunaan kenderaan bermotor seperti kereta,
motosikal, lori dan kapal terbang juga merupakan salah satu
dari penyumbang kepada berlakunya pencemaran alam sekitar seperti
pencemaran udara dan pencemaran bunyi. Hal ini kerana setiap
kenderaan akan melepaskan asap kenderaan yang mengandungi gas
yang berbahaya. Hal ini jika peningkatan taraf hidup masyarakat
terus meningkat pada zaman sekarang maka tahap pencemaran juga
akan turut meningkat berikutan semakin bertambah jumlah
penggunaan bilangan pengguna jalan raya yang selesa menggunakan
kenderaan mereka sendiri untuk bergerak ke destinasi yang ingin
dituju berbanding beramai-ramai menggunakan kenderaan awam yang
semestinya dapat mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya.
Hal ini akan menyebabkan pencemaran udara dan seterusnya
menjejaskan sistem pernafasan dan daya penglihatan manusia serta
pencemaran bunyi yang terhasil oleh kapal terbang yang
berlepas atau mendarat terutama dikawasan perumahan yang
berhampiran dengan lapangan terbang boleh menjejaskan daya
pendengaran manusia. Hal ini jelas menerangkan bahawa penggunaan
kenderaan bermotor juga menjadi salah satu punca berlakunya
pencemaran alam sekitar.
Antara punca lain penyebab berlakunya pencemaran alam sekitar
ialah pembakaran secara terbuka. Hal ini jelas dapat dilihat
berikutan pembakaran pokok-pokok tua di kawasan ladang dan
hutan untuk tujuan penanaman semula. Jika dilihat dari satu
sudut, penanaman semula sememangnya sangat baik tetapi akibat
daripada pembakaran secara terbuka yang dilakukan oleh
sesetengah pihak sebenarnya boleh menyebabkan berlakunya
pencemaran udara. Di samping turut memusnahkan kehidupan flora
dan fauna disekitarnya. Disebabkan pembakaran secara terbuka ini
jugalah suhu bumi menjadi semakin meningkat dan keadaan cuaca
di bumi semakin panas. Inilah sebenarnya akibat daripada
pembakaran secara terbuka yang dijalankan yang akhirnya membawa
kepada pencemaran alam sekitar serta sekali gus turut
menjejaskan kehidupan dan kesihatan manusia.
Tambahan pula, kurangnya peranan yang dimainkan oleh pihak
kerajaan juga menjadi salah satu punca terus berlakunya
pencemaran alam sekitar pada masa ini. Pihak kerajaan
seharusnya membuka mata dan lebih peka terhadap pembangunan
yang dijalankan oleh semua pihak dengan mengambil kira masalah
pencemaran yang bakal terjadi dari setiap projek pembangunan
tersebut dan bukan hanya melihat kepada peningkatan taraf hidup
masyarakat sahaja. Perkara ini sangat penting untuk membantu
mengurangkan pencemaran udara, air, tanah dan bunyi, hasil
daripada pembangunan pesat yang giat dijalankan dan tingkah
laku sesetengah organisasi dan masyarakat yang kurang kesedaran
sivik. Oleh disebabkan kerajaan kurang memainkan peranan dalam
menilai aspek-aspek inilah yang menyebabkan masalah pencemaran
berada ditahap yang semakin membimbangkan pada masa kini.
Kesimpulannya, punca-punca pencemaran yang telah dikenal pasti
ini harus diambil langkah serius oleh semua pihak dan
organisasi untuk mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar
baik daripada pencemaran air, udara, tanah dan bunyi. Ia
penting demi memastikan kehidupan dibumi ini terjamin dan
terhindar dari masalah pencemaran yang semestinya membahayakan
dan mengancam kesihatan serta kehidupan flora dan fauna untuk
generasi akan datang yang lebih baik dan sihat serta bebas
dari pencemaran alam sekitar.
http://alamsekitarbmp.blogspot.com/p/punca-berlakunya-pencemaran-alam.html
No comments:
Post a Comment